Isnin, 14 September 2009

PEMBUATAN PERAHU LEPA SEMPORNA


Perahu Lepa merupakan alat pengangkutan dan perhubungan bagi suku kaum Bajau Semporna yang paling penting pada masa dahulu. Lepa digunakan sebagai alat perngangkutan untuk mengunjungi sanak saudara yang tinggal berjauhan di kepulauan Semporna seperti Pulau Timbun Mata, Pulau Mataking, Pulau Bohecuz, Pulau Denawan, Pulau Ligitan, Pulau Sipadan dan Pulau Lahad Datu. Penggunaan kapal Lepa mula diperkenalkan oleh Panglima Malabih Masama dan digunakan untuk pelayaran ke Filipina.

Dinyatakan juga bahawa selain menjadi alat pengangkutan, Lepa juga dijadikan sebagai tempat kediaman bagi orang-orang laut. Sehingga kini keadaan ini masih wujud di daerah Semporna, Orang-orang laut yang dikenali sebagai “Pala'u” masih mengekalkan tradisi menjadikan perahu sebagai tempat kediaman utama mereka.

Selain Panglima Malabih Masama, pengasas Lepa Semporna termasuklah juga Japaludin Anak Salih Ngungsu Ayak dan datuk kepada bekas TYT Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Sakaran Dandai iaitu Panglima Uddang yang pada waktu itu menetap di Tong Taalun, Pekan Semporna.

Seorang lagi yang dikenali sebagai Rajanong telah menyatakan bahawa Lepa milik beliau yang dibuat di Kampung Kabimbangan Pulau Bum-Bum, Semporna merupakan Lepa yang asal dan asli dan tidak pernah diubahsuai corak dan buatannya.
----------------------------------------------------------------------
----------------------------------------------------------------------

TUAN HAJI MOHD MUSARI BIN EBBA



Tuan Haji Mohd Musari Bin Ibnu dilahirkan di Kampung Kabimbangan, Pulau Bum-Bum, Semporna pada 10 Disember 1942. Beliau merupakan anak jati suku kaum Bajau, Pulau Bum-Bum, Semporna, Sabah.






Beliau mula berkecimpung dalam bidang pembuatan perahu lepa sejak tahun 1969 iaitu ketika berumur 27 tahun. Mula menjalankan aktiviti pembuatan secara sambilan dan mempelajari ilmu pembuatan perahu dari Tuan Haji Bakara yang juga merupakan sepupu beliau.

Pada mulanya bengkel pembuatan yang digunakan untuk membuat perahu Lepa adalah amat kecil (Seperti dalam gambar). Hasil yang dikeluarkan juga amat terhad kepada satu buah perahu untuk tempoh tiga bulan.

Pada masa kini, Haji Mohd Musari banyak menerima tempahan perahu Lepa sekitar bulan Januari hingga April setiap tahun.
Ini disebabkan adanya sambutan Pesta Regatta Lepa yang akan disambut di daerah Semporna pada setiap tahun iaitu pada bulan April.

KRAF WARISAN TEMBIKAR LAPOHAN


LAPOHAN


Lapohan dalam bahasa suku kaum Bajau Laut bermaksud alat tempat membakar atau memasak sesuai dengan fungsinya. Ia merupakan tembikar yang dihasilkan melalui proses penggabungan dua jenis tanah iaitu tanah liat dan tanah pasir. Dianggarkan penghasilan produk lapohan di Pulau Salakan telah dilakukan sejak tahun 1920an lagi dan kemahiran pembuatannya diwarisi secara turun temurun.

Penghasilan produk Seramik Lapohan dilakukan oleh beberapa orang sahaja yang masih meneetap dan tinggal di Pulau Salakan.Salah seorang Pengusaha yang diletakan di bawah kategori Usahawan Kraf adalah Puan Nahima Taalil.

...................................................................................

LAPOHAN



Lapohan in Bajau Laut tribesman 's language mean place tool burn or cooking in keeping with his function. It is pottery generated through merger process two soil type namely sand clay and land. Estimated product generation lapohan in Salakan Pulau were made since year 1920 ' again and his manufacturing skills inherited by hereditary means.

KRAF WARISAN KOTA BELUD

SERAMIK KURON KG MALANGKAP KAPA KOTA BELUD
Apakah Kuron ?


Tembikar asli (Lanjang) suku kaum Kadazandusun di Sabah yang diperbuat daripada tanah liat (Lagit) dan digunakan sebagai bekas memasak nasi, lauk pauk dan herba ubat-ubatan tradisional.

Pembuatan kuron ini berasal dan tinggal di Kg. Melangkap, Kota Belud yang terletak di pinggir Gunung Kinabalu. Tanah liat diperoleh dari tebing sungai Kiliposu. Tanah liat jenis ini berwarna kelabu.


Sejarah Kuron

Di Sabah, penghasilan kraftangan seperti kuron di kalangan masyarakat asli di Sabah bermula dalam usaha mereka untuk memenuhi keperluan harian. Mereka menghasilkan pelbagai bahan yang banyak dengan tumpuan lebih kepada fungsinya dan kurang memberi perhatian kepada perhiasannya. Pembuatan tembikar asli dengan motif yang mudah memandangkan fungsinya lebih lazim sebagai bahan utilitarian. Misalnya, kuron dipakai untuk memasak nasi, lauk-pauk dan ubat-ubatan tradisional. Selain itu, penghasilan kraf mereka juga bergantung pada sumber alam sekitar dan keperluan dari segi budaya.

Masyarakat Kadazandusun (Lotud dan Bundu) serta Bajau/Sama (Kota Belud dan Semporna) adalah antara masyarakat yang masih menghasilkan tembikar asli tempatan di Sabah. Walau bagaimanapun, tembikar jenis ini amatlah jarang ditemui dan kurang diusahakan sekarang. Tembikar keluaran kontemporari yang lebih murah dan lebih lasak, serta mudah diperolehi di Sabah telah lebih diminati dan digunakan oleh masyarakat ini. Tambahan pula penyediaan tembikar tradisional memerlukan masa yang lebih panjang.



Pantang Larang Dalam Pembuatan Kuron.

Penghasilan tembikar tradisional lebih dikaitkan dengan kepercayaan sama ada membuat atau selepas bahan siap dibentuk. Bagi mendapatkan hasil yang baik serta mengelakkan daripada bala atau malapetaka berlaku semasa dan selepas mengutip bahan tanah liat, persembahan jampi mentera lazimnya dilafazkan dan sajian dipersembahankan kepada penghuni tempat pengambilan bahan tanah liat. Jika ritual ini tidak dilakukan besar kemungkinan akan membawa penyakit atau bencana yang lain. Pada masa yang sama, jika keluarga kebetulan sakit serentak pada masa penyediaan, semua kerja-kerja pembuatan akan dihentikan sehingga keadaan mengizinkan.

Pembuat Kuron.

Lazimnya, pembuat kuron terdiri daripada kaum wanita, walaupun kadangkala kaum lelaki akan mengutip tanah liat dari lapangan.

Proses Pembuatan Kuron.


1. Tanah liat lazimnya diambil dari tebing sungai.

2. Tanah liat dibersihkan dan diasingkan dari benda asing atau batuan dengan cara picitan.

3. Tanah liat dibentuk menjadi seperti kon (merupai tin).

4. Bahagian tengah tanah liat ditebuk dengan menggunakan wawaron (batang kayu yang diperbuat dari kayu keras). Wawaron kemudiannya menekankan dinding lubang yang bertujuan membesarkannya.

5. Bahagian luar pula diketuk dengan lalabi (batang leper yang diperbuat
daripada bambu).

6. Bahagian luar dipalu bertalu-talu secara perlahan-lahan, manakala di bahagian dalam dilapiskan dengan tuliyo (batu sungai yang berbentuk bulat) untuk membentuk touwou (dasar) dan tinan (badan) kuron.

7. Proses pembentukan sinaringsaring (leher), bahagian hujung tinan dibasahka kemudian disambungkan/ditambah tanah liat dan dibentuk dengan menggunakan lalabi dan tuliyo. Sepanjang proses ini, tanah liat ditambah sedikit demi sedikit untuk menutupi keretakan.

8. Membentuk kabang (mulut) kuron, menggunakan lalabi dan belakang tapak tangan, Sambungan/panjangan daripada sinaringsaring. Sepanjang proses ini, air dicurah sedikit demi sedikit.

9. Kuron dijemur untuk mengeraskan kuron yang lembap kerana proses pembuatan kabang.

10. Kuron diratakan dengan jari dan tanah liat ditambah, sekiranya terdapat lubang atau retakan.

11. Proses menghias/mencorak kuron. Sebatang kayu yang diukir geometrik akan dilekapkan pada badan kuron untuk menghasilkan hiasan/corak.

12. Proses pembuatan sompon (penutup kuron), tanah liat yang telah dibersihkan, dibentuk seakan bulat dan kemudian dileperkan.

13. Tanah liat yang telah dileperkan, diletakkan di atas dasar kuron (kuron diterbalikkan) dan ditekan secara perlahan-lahan. Ini untuk mendapatkan lengkungan penutup.Kemudian dibentuk pemegang sompon.

14. Kuron dan sompon dijemur di bawah matahari sehingga kering dan keras, iaitu warna menjadi keputihan.

15. Kuron dan sompon dibakar dengan pelepah kelapa selama lebih kurang 1 jam sehingga warna kuron menjadi kemerah-merahan.

16. Selesai proses pembakaran, kuron dibiarkan sehingga sejuk dan selepas itu kuron sedia untuk digunakan.



Latar Belakang Pengusaha Seramik Kuron




Puan Kontiam Sitan merupakan anak kepada mendiang Somotoi Lugu iaitu seorang tokoh kraf etnik seramik Kuron dari suku kaum etnik kadazandusun Sabah yang telah meninggal dunia pada awal bulan September 2004.

Beliau merupakan satu-satunya pewaris selepas kematian ibunya yang tahu membuat produk Seramik Kuron di kampung Melangkap Kapa, Kota Belud, dimana produk warisan seramik ini ditemui dan dihasilkan.

Puan Kontiam dilahir dan dibesarkan di Kampung Melangkap Kapa, Kota Belud, dan merupakan seorang surirumah sepenuhmasa selain membantu suaminya mengusahakan ladang pertanian.

Puan Kontiam hanya akan membuat seramik Kuron sekiranya mendapat tempahan dari penduduk kampungnya dan beberapa buah kampung sekitar. Melihat kepada masa depan Kuron yang semakin ditelan zaman, Puan Kontiam kini sedikit sebanyak telah mula menurunkan ilmu pembuatan Kuron kepada anaknya iaitu Puan Samsiah Bt Soupi. Beliau berharap agar anaknya akan terus mewarisi tradisi nenek moyang dalam pembuatan seramik Kuron.

PROGRAM PENGELUARAN KRAF WARISAN

PROGRAM PENGELUARAN KRAF WARISAN
ALAT MUZIK TRADISIONAL “GAMBUS SUKU KAUM BRUNEI”
BONGAWAN, PAPAR, SABAH


Latarbelakang Usahawan



Awang Besar Bin Pengiran Apong dilahirkan di Kampung Seri Serbang Bongawan pada tahun 1940. Mula mempelajari pembuatan produk gambus Brunei sejak kecil lagi iaitu mewarisi ilmu daripada ayahnya. Mula bergiat secara aktif memanting, membuat dan memainkan alat muzik gambus secara sepenuh masa sejak 10 tahun lalu.

Beliau turut menganggotai satu kumpulan muzik tradisional di kampungnya yang dikenali sebagai kumpulan “Alunan Pelangi. Kumpulan ini sering membuat persembahan di majlis-majlis keramaian seperti perkahwinan dan majis-majlis rasmi kerajaan.

Selain mengikuti program pameran dan jualan yang dijalankan oleh PKKM Cawangan Sabah, beliau juga sering mengikuti aktiviti yang dijalankan oleh agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang lain sebagai tenaga pengajar untuk aktiviti-aktivititi bengkel atau sebagai juru demo memainkan alat muzik gambus di seluruh negeri Sabah.

Awang Besar selalunya menggunakan kayu jenis angsana dan kayu tambu –tambu untuk setiap produk gambus yang dihasilkan. Kayu jenis ini bukan sahaja lembut dan mudah diukir, malah mudah diperolehi di kawasan sekitar. Menurut encik Awang Besar, kapasiti pengeluaran gambus untuk sebulan adalah dalam 4 hingga 5 unit bergantung kepada saiz gambus yang dihasilkan.


Bengkel pembuatan yang dimiliki oleh encik Awang Besar terletak di Kampung Seri Serbang, Bongawan, Papar. Kira kira 15 Kilometer dari Pekan Papar dan 90km dari Bandaraya Kota Kinabalu.

Bersaiz 15’ lebar dan 20’ panjang, bengkel ini hanya dapat menampung 1 hingga 3 orang tenaga pekerja pada satu-satu masa.


Produk yang dihasilkan akan dijual di gerai encik Awang Besar di Pekan Bongawan. Selain menjual secara langsung, encik Awang turut mendapat tempahan dari kawasan sekitar dan dari dalam negeri. Permintaan yang berterusan telah menguatkan semangat encik Awang Besar untuk terus mengusahakan pembuatan gambus Brunei sehinggalah kini.











TENUNAN MUGAH


Tenunan Mugah adalah dipercayai telah dibawa daripada Cota Bato, Filipina. Penenun kain ini adalah terdiri daripada golongan bangsawan Kesultanan Sulu yang berkhidmat sebagai penenun kain bangsawan Kesultanan Sulu. Pada masa itu kain Tenunan Mugah digunakan sebagai kain sarung oleh golongan bangsawan Kesultanan Sulu di Filipina.

Pada masa kini, kain Tenunan Mugah diusahakan oleh suku kaum Irranun di Sabah. Ianya diusahakan di beberapa buah kampung di Kota Belud, satu daripadanya adalah Kampung Merabau, satu daerah yang terkenal dengan keluaran hasil tenunan seperti kain Dastar, Mugah, Baraguru, Sambitan, Ampik dan Tapak Sila. Di kampung tersebut nama-nama seperti Hajjah Ramiah Bte Abdullah, Puan Latifah Bte Abdullah, Puan Tiandoong Bte Ashim dan Puan Sabnah Bte Dullah begitu sinonim dengan penghasilan produk tenunan tradisi suku kaum itu. Penggunaan kain Tenunan Mugah telah diubahsuai mengikut peredaran masa. kini kain Tenunan Mugah digunakan sebagai pakaian pengantin suku kaum Irranun di Sabah dan ianya juga dijadikan sebagai pakaian tradisi yang digunakan untuk persembahan tarian pada masa perayaan oleh suku kaum itu.

Pada masa dahulu penghasilan kain Tenunan Mugah menggunakan bahan-bahan yang diproses sendiri. Berbeza dengan masa kini, bahan-bahan keperluan pembuatan kain Tenunan Mugah boleh diperolehi daripada kedai-kedai. Alat tenunan tradisi untuk penghasilan kain Tenunan Mugah dalam bahasa Irranun dipanggil Aulon (Back Strap). Kini penghasilan kain ini boleh dibuat dengan menggunakan alat tenun biasa.

Proses penghasilan kain Tenunan Mugah.

1. Bahan-bahan yang digunakan.

1. Benang kapas
2. Benang No. 8 – digunakan sebagai benang karat
3. Nasi – digunakan sebagai kanji
4. Lalang – digunakan sebagai kanji
5. Sabut kelapa – digunakan sebagai berus untuk mengkanji benang

2. Bahan-bahan pewarna.

Bahan pewarna yang digunakan pada masa dahulu adalah bahan tumbuhan semulajadi yang diproses untuk menghasilkan warna yang diperlukan. Berikut adalah bahan tumbuhan yang digunakan untuk penghasilan warna secara tradisional:-

Warna Hitam. Warna Kuning

Tambu Kuning Daun Tagum
Kulit Kayu Kalimbubuk Kunyit
Tanah Lumpur Garam
Kayu Sepang Kapur

WarnaJingga ( oren ) Warna Merah

Kunyit Kayu Sepang
Kapur Daun Jirak
Limau Air (mengikut banyak benang)
Garam

Warna Hijau

Daun Lada

( Proses penyediaan warna secara tradisional. Sila rujuk Lampiran 1)


3. Peralatan yang digunakan untuk menghasilkan kain Tenunan Mugah

Peralatan yang digunakan untuk menghasilkan kain Tenunan Mogah dipanggil Aulon (Alat Tenun). Kek Tenunan tradisional ini terdiri daripada beberapa komponen dan beberapa alat sampingan juga digunakan semasa proses menenun.

Peralatan terdapat pada Aulon ( Alat Tenun )

1. Paguta – alat papan pasong
2. Pasiga – tempat memijak
3. Bubungen – sebagai belira kecil
4. Liliden
5. Bibitan – sebagai anak geliging
6. Saulaya – alat papan pengulung
7. Barira besar
8. Surud – acuan menempatkan gigi loseng
9. Tegganan – sebagai pesak
10. Tulak – alat torok
11. Pelting
12. Dapi – alat tali pinggang


Peralatan sampingan yang digunakan.

1. Buntelah – alat tempat mengkanji benang
2. Bekarah – alat tempat menarai benang
3. Sudan – alat anian
4. Remsah – bekas air
5. Pinggan – tempat meletak kanji
4. Proses pembuatan kain Tenunan Mogah

Berikut adalah turutan proses pembuatan kain Tenunan Mogah

1. Tegenan – membahagikan benang
2. Bunserah – mengkanji benang
3. Menyikat – menyikat benang untuk elak kusut
4. Bekarah – menerai benang
5. Pagsud – menganing / mengarak benang
6. Penugit – proses menyampok
7. Palaletag – proses membentang benang loseng
8. Pamerapan – proses menenun kosong / proses menenun corak






5. Teknik pembuatan kain Tenunan Mogah

1. Menenun corak kunyit – empat urat benang satu celah gigi jentera
2. Menenun corak petak kecil (tali-tali) – tiga urat benang satu celah gigi jentera
3. Menenun corak petak besar (tanah) – dua urat benang satu celah gigi jentera



6. Antara reka corak dan motif yang terdapat pada kain Tenunan Mogah


1. Corak tali-tali (petak kecil)
2. Corak tanah (petak besar)
3. Corak kunyit


Penghasilan kain Tenun Mogah kini adalah terhad. Perkara ini disebabkan para pembuat kain tenunan ini tidak dapat menumpukan sepenuhnya untuk menghasilkan produk kain Tenunan Mogah disebabkan oleh faktor usia. Namun, kain Tenunan Mogah masih boleh diperolehi di daerah Kota Belud, Sabah.




Lampiran 1

PROSES PENGHASILAN WARNA SECARA TRADISI

1. Penghasilan warna Hitam.

- Daun Tagum
- Kulit Kayu Kalimbubuk
- Tanah Lumpur
- Kayu Sepang

a. Benang yang hendaklah dicelup, terlebih dahulu hendaklah direndam dalam tanah yang bercampur dengan air (tanah lumpur) selama 2 hari.
b. Kulit kayu kalimbubuk, daun tagum dan kayu sepang dicampur dengan air kemudian dimasak sehingga mendidih.
c. Tapiskan air rebusan dan benang direndam dengan air tapisan selama 1 hari, benang yang telah direndam dibilas dengan air dan jemur di tempat yang teduh.

2. Penghasilan Warna Kuning

- Tambu Kuning
- Kunyit
- Garam
- Kapur

a. Tambu kuning dan kunyit ditumbuk halus dan digaulkan bersama garam dan kapur dan dididihkan selama 15 – 30 minit. Air ditapis dan rendamkan benang selama 1 hari, benang yang telah direndam dibilas dengan air bersih dan dijemur di tempat yang teduh.

3. Penghasilan Warna Jingga ( oren )

- Kunyit
- Kapur
- Limau
- Garam

a. Kunyit ditumbuk halus, campurkan dengan kapur dan garam, didihkan selama 15 – 30 minit. Air rebusan ditapis dan rendamkan benang dalam air rebusan selama 1 hari. Benang dibersihkan dengan air dan dijemur di tempat yang teduh.


4. Penghasilan Warna Merah

- Kayu Sepang
- Daun Jirak
- Air (mengikut banyak benang yang hendak dicelup)

a. Kayu sepang dikikis kemudian dicampurkan dengan daun jirak yang telah dijemur. Masukkan semua bahan tersebut dalam bekas dan didihkan selama 15 – 30 minit. Air rebusan ditapis dan rendamkan benang kedalam air yang telah ditapis selama 1 hari, benang dibersihkan dengan air bersih dan jemur di tempat yang teduh.

5. Penghasilan Warna Hijau

- Daun Lada

a. Daun lada ditumbuk, kemudian diperah untuk mengeluarkan airnya. Air perahan daun lada dididihkan dan masukkan benang selama 30 minit hingga 1 jam. Benang diangkat dibilas dengan air bersih dan dijemur di tempat yang teduh.



Biodata Adiguru Kraf 2001 – Tenun Mugah




Nama : Puan Sabnah Binti Dullah

No. Kad Pengenalan : 450727 – 12 – 5006

Alamat : Peti Surat 127,
Kampung Marabau
89150 Kota Belud, Sabah.

Tarikh Lahir : 27 Julai 1945

Tempat Lahir : Kampung Merabau, Kota Belud

Umur : 57 tahun

Jantina : Perempuan


Keterangan Keluarga Adiguru Kraf 2001

Nama Bapa : Dullah Bin Motoi

Nama Ibu : Hamidah Binti Adoi

Nama Suami : Abdul Kadir Bin Jalani

Nama Anak : Mastikah Binti Abdul Kadir


Latar Belakang

Puan Sabnah binti Dullah, berusia 57 tahun adalah seorang yang berketurunan Irranun dan berasal dari Kg. Merabau, Kota Belud, Sabah. Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga petani yang sedarhana dan mempunyai lima orang adik-beradik. Walaupun tidak pernah mendapat pendidikan formal namun keupayaan beliau menguasai teknik pembuatan dan kemahiran dalam seni tenunan Mugah telah meletakkan beliau sebagai seorang yang mahir dalam bidang ini.

Mula menceburkan diri dalam bidang ini semasa remaja. Pengelibatan awal bermula dengan membantu ibu dan komunitinya yang terkenal dengan kemahiran mereka dalam bidang tenunan tradisi Sabah ini. Beliau seterusnya berjaya mewarisi kemahiran ibunya.

Walaupun Puan Sabnah bekerja sepenuh masa sebagai pesawah dan sibuk dengan urusan rumah tangga, disebabkan minat yang mendalam dan keinginannya untuk melihat tradisi ini terus diwarisi, beliau terus aktif menjalankan aktiviti ini sehingga ke hari ini.

Setiap hasil tenunan beliau memaparkan rekaan dan hasil kerja tangan yang halus, berkualiti serta mempunyai unsur-unsur seni tradisional yang berasaskan motif alam sekitar. Bersesuaian dengan cara hidup masyarakatnya yang berdampingan erat dengan persekitaran alam, hasil kerja tangannya banyak memperlihatkan motif seperti bunga, daun dan tumbuh-tumbuhan.

Biasanya tenun Mugah ini dihasilkan dimasa lapang dan dijalankan di ruang yang telah dikhaskan di rumahnya. Walaupun pendapatan beliau tidak seberapa, namun modal untuk membuat dan membeli perkakasan serta peralatan tradisional menenun kain Mugah datangnya daripada hasil usahanya sendiri.

PROGRAM SATU DAERAH SATU INDUSTRI PRODUK KRAF SABAH

Negeri Sabah merupakan salah satu negeri yang mempunyai Paling Ramai pengusaha Kraf di Malaysia. Sehubungan itu, jumlah ini telah membolehkan sebanyak 13 projek berasaskan Satu Daerah Satu Industri dibentuk dan diwujudkan.

Projek SDSI yang dimaksudkan adalah seperti berikut:-


1. SDSI berasaskan Produk Ribu-Ribu - Daerah Kudat
2. SDSI Berasaskan Logam Gong -Daerah Kudat
3. SDSI Berasaskan Manik Rungus - Daerah Kudat
4. SDSI Berasaskan Tenunan Sabah - Daerah Kota Belud
5. SDSI Berasaskan Parang bajau - Daerah Kota Belud
6. SDSI Berasaskan Serdang - Daerah Kota Belud
7. SDSI Berasaskan Kulit Kayu - Daerah Koat Belud
8. SDSI Berasaskan Rotan - Daerah Kota Belud
9. SDSI berasaskan Pandan - Daerah Kuala Penyu
10. SDSI Berasaskan Lepa-Lepa - Daerah Semporna
11. SDSI berasaskan Buluh & Salingkawang - Daerah Keningau
12. SDSI Berasaskan Buluh - Daerah Nabawan
13. SDSI Berasaskan Buluh - Daerah Tenom

Sebarang Maklumat lengkap berhubung perkara ini bolehlah menghubungi pegawai kraftangan sabah

Isnin, 7 September 2009

KRAF WARISAN

PERAHU BAGONG SUKU KAUM SUNGAI KINABATANGAN, SABAH


SINOPSIS

Pada masa dahulu sumber pengangkutan utama kawasan pedalaman Sandakan terutamanya di Kinabatangan adalah sungai. Oleh sebab itu penduduk yang tinggal di Kinabatangan banyak tertumpuh di persisir dan tepi-tepi sungai yang akhirnya mewujudkan kelompok Suku kaum Sungai (satu istilah yang diberikan kepada penduduk yang tinggal berhampiran sungai Kinabatangan yang terdiri daripada kelompok Idahan, Minokok, Mangkaak, Makiang, Rumanau, Sinabu dan Pingas.

Bagi memudahkan dan mewujudkan perhubungan terutama melibatkan urusan perniagaan dan mengunjungi keluarga dan sahabat andai, penggunaan Perahu Tradisional telah dihasilkan dan telah digunakan sepanjang laluan air sungai Kinabatangan dari Lamang ke hulu Kinabatangan dan tongod. Salah satu perahu yang dihasilkan adalah perahu kayu yang dikelai sebagai “Bagong”.

“Bagong” istilah tempatan peribumi suku kaum Sungai bermaskud perahu yang dihasilkan dari sebatang pokok. Pokok kayu yang sering digunakan adaah jenis kayu sederhana lembut seperti seraya dan kapur. Ukuran perahu yang dihasilkan adalah dalam 30’ hingga 50’ bergantung panjang kayu yang diperolehi.

Selalunya perahu Bagong akan dilengkapi dengan lantai kayu dan atap daun Nipah, dayung, dapur kayu,sapang (Tombak ikan). Perjalanan yang jauh menjadikan Perahu Bagong menjadi sebagai rumah kedua. Selalunya perahu Bagong boleh menempatkan satu keluarga dalam satu-satu masa.

Pada masa sekarang Perahu Bagong tidak dihasil dan digunakan lagi. Perahu Fiber dan papan lapis lebih banyak digunakan dan senang dihasilkan. Pengangkutan darat yang lebih efisyen akhirnya menyebabkan Perahu Bagong telah pupus dan tidak ramai yang tahu akan sejarah sumbangnya pada suku Kaum Sungai Kinabatangan.


En. Salim Maumin dari Kg Usaha Jaya Kota Kinabatangan seorang pembuat Perahu Bagong yang satu-satunya masih aktif mempertahankan tradisi ini. Walaubagaimanapun bagi memenuhi permintaan dan mengikut keadaan semasa, penghasilan Perahu Bagong telah diubah kepada penghasilan Miniature Bagong. Walaubagaimanpun ciri-ciri asal perahu Bagong tetap dikekalkan soleh Encik Salim Maumin.

ANYAMAN RIBU RIBU

Kraftangan Anyaman Ribu ribu adalah anyaman produk kraf yang banyak dihasilkan oleh suku kaum Rungus di Daerah Kudat.

Pokok Ribu ribu atau nama saintifiknya Lygodium adalah sejenis tumbuhan paku pakis menjalar yang tumbuh di kawasan belukar. Turut dikenali sebagai Lingkong dalam Bahasa Suku Kaum Rungsu Kudat, Sabah.

Antara produk kraftangan tradisional yang dihasilkan dari ribu ribu adalah seperti gasing, tinompok dan selapak. Walau bagaimanapun ianya boleh dibuat produk seperti alas pinggan, alas gelas, bekas buah, bakul dobi, bekas gula gula dan sebagainya.

SENARAI PENGUSAHA KRAF NEGERI SABAH PADA TAHUN 2008




Negeri Sabah terkenal dengan industri Krafnya yang semakin berkembang.
Mengikut Data Banci Kraf 2007-2009, Negeri Sabah merupakan Negeri yang mempunyai Pengusaha Kraf Paling Ramai Di Malaysia iaitu sekitar 2259 Orang.

Taburan Pengusaha mengikut Daerah di Sabah adalah seperti di atas. Kudat merupakan Daerah paling ramai pengusaha Kraf diikuti oleh Daerah Kota Belud

HASIL RIMBA 1475 orang
TEKSTIL 353 orang
LOGAM 117 orang
HASIL TANAH 35 orang
LAIN-LAIN 279 orang

JUMLAH BESAR 2259

Ahad, 6 September 2009

UKIRAN HALUS PARANG BAJAU SAMA


Ukiran halus Parang Bajau Sama Kota Belud merupakan harta tinggalan nenek moyang suku kaum Bajau yang tidak terhingga nilainya. Nilai Estetika pada motif dan ukiran yang ditunjukkan pada sarung dan hulu parang menunjukkan betapa suku kaum Bajau Kota Belud mempunyai nilai cara hidup yang penuh dengan kesenian dan estetika peradaban pada masa dahulu. Namun kini, nilai dan seni yang ditinggalkan dijadikan sumber bagi generasi pelapis yang baru dalam penghasilan produk kraftangan berasaskan senjata yang tinggi nilai kualiti dan harganya.

Produk krafttangan Parang Bajau Sama merupakan produk kraf warisan yang sememangnya mendapat sambutan yang amat baik bukan sahaja dalam pasaran tempatan malah di peringkat nasional dan antarabangsa. Setiap produk Parang yang dihasilkan mempunyai ciri-ciri dan ukiran tersendiri. Setiap ukiran melambangkan budaya dan corak kehidupan suku kaum Bajau Sama contohnya motif Serimpak pada hujung Sarung Parang dan pada hulu parang.

Serimpak merupakan alat perhiasan kepala yang dipakai oleh pengantin perempuan semasa majlis persandingan diadakan di setiap majlis perkahwinan suku kaum bajau
Selain itu terdapat banyak motif dan ciri-ciri pada ukiran Parang Bajau melambangkan kepelbagaian dan keunikan suku kaum Bajau Sama. Motif alam semulajadi seperti buah Cili bagi produk Parang Bajau Lada-Lada dan selain itu terdapat unsur-unsur alam lain yang digunakan.

Terdapat pelbagai jenis parang Bajau sama yang dihasilkan dan masih terdapat pada masa sekarang termasuklah Parang Bajau Barung, Pidah, Lada-lada, Pedang Bajau, Gayang, Kegayaan, Sabit Bajau, Beladau, Pais dan Pedang samurai dan Keris motif Bajau Sama.
Penghasilan sarung dan hulu kayu sering menggunakan beberapa jenis kayu. Bergantung kepada permintaan pasaran. Kayu Malam dan Rengas merupakan bahan kayu yang sering mendapat permintahan tinggi dan menonjol penghasilanya. Selain itu kayu Nangka, Akasia, Nyire (Kayu Tambu-Tambu) dan beberapa jenis kayu lain turut digunakan. Manakalah besi spring kereta digunakan dalam penghasilan mata dan badan parang Bajau Sama.

Setiap Parang Bajau yang dihasilkan mempunyai kegunaan masing-masing. Parang Bajau jenis Lada-Lada, Beladau dan Pidah@ Barung contohnya digunakan untuk aktiviti penyembelihan binatang korban seperti lembu, kerbau, kambing, ayam dan sebagainya. Badi Rumput pula digunakan untuk aktiviti membersihkan kawasan berumput,, Badi Guuk selalunya digunakan bagi kerja-kerja yang memotong tulang binatang, kayu keras dan ikan. Parang Bajau seperti Beladau, Gayang, Pedang dan Kegayaan digunakan pada zaman dahulu sebagai alat untuk mempertahankan diri selain sebagai lambang kekuatan si pemakainya. Keris pula digunakan untuk majlis-majlis rasmi seperti majlis perkahwinan, majlis berkhatan dan untuk tujuan perawatan bagi pesakit yang dikatakan terkena penyakit sihir, ilmu hitam, jin dan syaitan.

Taburan pengusaha yang membuat produk ukiran halus parang Bajau Sama pula lebih ramai di kawasan pinggir bandar Kota Belud iaitu di Kampung Siasai Jaya, Siasai Tamu, Siasai Kompang dan Siasai Dundau. Dianggarkan terdapat seramai 50 hingga 80 orang pengusaha Parang Bajau sepenuh masa di kawasan ini.

Tuan Haji Ebin Bin Adim (69 Tahun) dari Kampung Siasai Kompang telah berkecimpung dengan perusahaan pembuatan Parang sejak berumur 16 tahun dan menjalankan perusahaan ini sejak 53 tahun yang lepas sehingga sekarang. Beliau merupakan salah seorang tokoh kraf Parang Bajau yang mewarisi ilmu tersebut daripada bapanya dan sekarang diturunkan kepada anak dan cucu.

Pengikut

Mengenai Saya

Foto Saya
Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia